Suspek bakar kereta pegawai kastam ditahan

POLIS menahan dua lelaki berusia 48 dan 49 tahun semalam bagi membantu siasatan berhubung kes bakar empat kenderaan di rumah seorang pegawai kastam di Presint 11, Putrajaya dekat sini, 23 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan di sekitar ibu negara selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di kawasan perumahan berkenaan.
"Kedua-dua suspek dikenal pasti susulan pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi insiden pada harian kejadian.
"Menerusi rakaman itu, kita melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal beberapa kali berlegar-legar di sekitar kawasan berhampiran kediaman mangsa," katanya.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek dikenal pasti terbabit dengan satu kes ugutan secara lisan melalui panggilan telefon ke atas seorang pegawai kastam lain, April tahun lalu.
"Polis masih menjalankan siasatan ke atas pembabitan kedua-dua suspek dengan kes bakar kereta pegawai kastam terbabit.
"Motif kejadian masih masih dalam siasatan dan kes Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, dua kereta diletakkan di pekarangan rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Nor Azman Mat Jini, musnah manakala dua lagi separuh musnah.
Ketika kejadian, Nor Azman, 59; isteri, Noor Hayati Khairuddin, 57, anak, menantu dan dua cucunya tidur di tingkat atas dan bawah rumah berkenaan, namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berjaya keluar melalui pintu belakang rumah.
Empat kenderaan rosak dalam kebakaran itu adalah kereta jenis Mercedes Benz milik isteri mangsa, kereta PERODUA Myvi milik anak mangsa, PROTON Saga BLM milik menantu mangsa dan Honda CRV milik mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 2:29 PM
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==